Kemasukan Timor-Leste akan lebih kuatkan ASEAN

Malaysia menzahirkan keyakinan bahawa kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN akan memperkukuh kekuatan, perpaduan dan kestabilan rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Timor-Leste diyakini akan membawa suara serta perspektif baharu yang akan memperkaya kepelbagaian dalam ASEAN.

“Nilai kasih sayang, saling menghormati dan semangat kekeluargaan ASEAN memberi keyakinan bahawa Timor-Leste akan menjadi anggota yang menyumbang kepada kekuatan, suara dan perspektif yang memperkukuh perpaduan ASEAN, selain menjamin kestabilan dan kemakmuran buat warga Timor-Leste seluruhnya,” katanya hari ini.

Menurut beliau, Malaysia berasa gembira dan berbangga dengan kemasukan Timor-Leste, dan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, negara ini akan terus memanfaatkan peluang tersebut untuk membuka lembaran baharu diplomasi serantau yang menjamin masa depan lebih meyakinkan buat ASEAN.

“Alhamdulillah, Malaysia ternyata gembira dan berbangga tatkala menyumbang kepada kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN. 

“Malaysia memahami serta menggarap sejarah panjang serta deritanya di masa lalu, lantas kita memanfaatkan peranan ‘Chair of ASEAN 2025’ dengan menempa lembaran baharu diplomasi dan pensejarahan ASEAN yang tentunya akan menjamin masa depan yang lebih meyakinkan buat Timor-Leste dan ASEAN seluruhnya,” katanya.

BACA JUGA Kelab Penyokong Kerajaan desak Takiyuddin tarik balik tuduhan, mohon maaf dalam Dewan