1,711 barangan Malaysia kini tidak dikenakan cukai di pasaran AS
Pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dijangka membuka peluang pasaran yang lebih luas dan stabil untuk kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, menerusi perjanjian bersejarah itu, sebanyak 1,711 jenis barangan dari Malaysia tidak lagi dikenakan cukai import sebanyak 19 peratus di pasaran AS, sekali gus memberi kelebihan besar kepada sektor eksport negara.
Antara produk utama Malaysia yang dijangka mendapat manfaat termasuk minyak sawit, barangan berasaskan getah dan koko, komponen serta alat gentian pesawat, selain produk farmaseutikal.
“Perjanjian yang dimeterai kelmarin sebenarnya telah dipersetujui secara rasmi sebelum ini dan telah diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, di Parlimen.
“Namun, apa yang lebih baik kali ini ialah AS menawarkan akses pasaran yang lebih luas dan lebih terjamin kepada Malaysia.
“Maka, apa yang dimeterai kali ini adalah lebih baik daripada apa yang diumum sebelum ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Penghapusan tarif terhadap 1,711 jenis barangan tersebut bakal mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang strategik kepada AS, terutama dalam sektor barangan pengguna dan komoditi.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH–Jelutong) mengenai kelebihan perjanjian itu, Chin Tong menegaskan, langkah tersebut akan meningkatkan daya saing eksport negara di pasaran global.
Bagaimanapun katanya, produk semikonduktor tidak termasuk dalam perjanjian berkenaan.
“Buat masa ini, produk semikonduktor tidak dirangkumi dalam perjanjian. Namun, perkara itu akan dipertimbangkan oleh pihak AS dan dewan perniagaan mengikut Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 (19 U.S.C 1862).
“Apabila semikonduktor dipertimbangkan kelak, ia akan diambil kira secara keseluruhan bersama apa yang telah dipersetujui semalam,” jelas beliau.
BACA JUGA Fadhli alami mentaliti kerdil, kritik kerja orang, kerja sendiri tidak dibuat