Fadhli alami mentaliti kerdil, kritik kerja orang, kerja sendiri tidak dibuat

Aktivis AMANAH Jamzuri Ardani mengkritik keras kenyataan oleh Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadli Saari, yang menuduh bahawa perjanjian dagang antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ketika kehadiran Donald Trump sebagai “kalah sorak kampung tergadai”.

Dalam catatannya, Jamzuri menempelak kenyataan Fadhli sebagai “mentaliti kerdil” yang menjadi salah satu sebab mengapa Kelantan masih ketinggalan dari segi ekonomi.

“Antara punca kenapa Kelantan terus mundur dari segi ekonomi ialah kerana mentaliti kerdil seperti ini.

“Hanya tahu meremehkan kerja orang lain tetapi diri sendiri tiada idea untuk bangunkan negeri sendiri,” tegas Jamzuri.

Terdahulu, Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas itu merupakan ‘penjajahan baharu’ AS yang bersembunyi di sebalik slogan kerjasama ekonomi.

Menurutnya, berdasarkan dokumen yang diterbitkan White House, perjanjian tersebut bukan bersifat dua hala yang seimbang, tetapi langkah menyerahkan dasar, sumber dan kuasa kawal selia Malaysia ke tangan Washington.

Lebih membimbangkan, kata Fadhli lagi, Malaysia turut menandatangani komitmen untuk melonggarkan sekatan bukan tarif terhadap barangan Amerika.

“Ini termasuk menerima kenderaan buatan AS yang mengikut piawaian keselamatan dan pelepasan gas mereka sendiri, memudahkan lesen import bagi produk keluli dan paip,” katanya,

Turut terlibat, dakwa Fadhli ialah “menyederhanakan keperluan halal” untuk kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan dari AS.

Kelmarin, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas ditandatangani semasa lawatan Donald Trump dengan penganalisis menilai hasil rundingan itu bakal memberi manfaat besar kepada sektor perkilangan, pertanian dan perusahaan kecil tempatan.

AS menawarkan akses pasaran yang lebih baik dan terjamin kepada produk eksport Malaysia serta bersetuju menurunkan tarif daripada 25 kepada 19 peratus bagi produk Malaysia.

Dalam masa sama, Malaysia turut mendapat pengecualian penuh daripada tarif 19 peratus bagi 1,711 talian tarif bernilai USD5.2 bilion, meliputi eksport utama seperti minyak sawit, produk getah, dan alat ganti pesawat.

BACA JUGA Türkiye digegar gempa bumi magnitud 6.1