Adakan pendengaran peringkat jawatankuasa berhubung perjanjian perdagangan Amerika Syarikat – Malaysia
Jawatankuasa pilihan khas parlimen bagi hubungan antarabangsa dan perdagangan antarabangsa mahu pendengaran jawatankuasa diadakan berhubung perjanjian perdagangan Amerika Syarikat – Malaysia diadakan pada 12 Nov.
“Sebagai sebuah badan dwipartisan di bawah Parlimen Malaysia, Jawatankuasa ini mengakui bahawa perjanjian perdagangan tidak memerlukan kelulusan Parlimen.
“Namun demikian, ahli-ahli Parlimen melalui jawatankuasa pilihan khas telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan kedaulatan negara serta Perlembagaan Persekutuan,” kata pengerusi jawatankuasa Wong Chen (PH-Subang)
“Sehubungan itu, Jawatankuasa ini berpendapat bahawa satu sesi pendengaran jawatankuasa perlu diadakan bagi meneliti perkara ini secara mendalam dan menyeluruh.
“Kami berhasrat untuk menjemput Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, pakar ekonomi, serta wakil-wakil dewan perdagangan untuk memberikan pandangan dan menjawab pertanyaan.
“Tujuan sesi pendengaran ini adalah untuk memberi ruang kepada Kerajaan Madani menjelaskan perjanjian perdagangan timbal balik terkini dengan Amerika Syarikat, terutamanya dalam konteks komitmen Malaysia terhadap perjanjian perdagangan pelbagai hala, perjanjian perdagangan bebas (FTA), serta kerjasama ekonomi dengan negara-negara yang mungkin tidak sehaluan dengan dasar Amerika Syarikat, termasuk anggota BRICS seperti Brazil, China, Rusia dan India.
Ini kerana terdapat klausa-klausa tertentu yang boleh ditafsir sebagai mengancam kedaulatan negara.
Perjanjian perdagangan telah ditandatangani pada 26 Oktober ketika Sidang Kemuncak ASEAN.
Sebarang perbezaan pendirian boleh dikemukakan di peringkat rayuan iaitu dalam tempoh 60 hari dari tarikh perjanjian.
BACA JUGA: 1,711 barangan Malaysia kini tidak dikenakan cukai di pasaran AS