Kes pesara guru ditipu RM35,000: Apa status terkini Datuk, adik lelaki?
Mahkamah Majistret Dungun hari ini menolak permohonan polis untuk menahan reman usahawan hartanah bergelar Datuk bersama adik lelakinya masing-masing berusia 39 dan 31 tahun untuk siasatan kes penipuan urus niaga hartanah.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman membuat keputusan itu selepas pihak polis memohon perintah itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Peguam, Ahmad Adha Amir Yasser yang mewakili adik-beradik itu berkata, majistret membuat keputusan tersebut kerana anak guamnya pernah dipanggil polis sebelum ini dan memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan kes terbabit.
Menurutnya, lapor BH, kedua-dua individu terbabit boleh dipanggil pihak berkuasa pada bila-bila masa dan mereka akan memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Semalam, dua beradik itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Besut atas pertuduhan mengikut Seksyen 427 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka dituduh melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza pada 23 Oktober lalu.
Berdasarkan pertuduhan, bagi kes pertama, mereka direman sejak 25 Oktober sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa.
Kedua-duanya melakukan perbuatan itu di hadapan rumah dekat Kampung Pengkalan Buluh, Jalan Tok Raja, Besut, kira-kira jam 11 malam pada 23 Oktober lalu.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 oleh seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi serta mangsa.
Sebutan semula kes tersebut ditetapkan pada 24 November depan di Mahkamah Majistret Besut untuk serahan dokumen.
Usahawan hartanah terbabit ditahan semula oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu bagi membantu siasatan kes penipuan urus niaga tanah melibatkan seorang pesara guru yang kerugian RM35,000 pada 2023.
BACA JUGA Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS kesan perjanjian perdagangan