Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS kesan perjanjian perdagangan

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, disokong oleh perjanjian perdagangan AS-Malaysia.

Setakat 8 pagi tadi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2040/2140 berbanding dolar AS daripada 4.2080/2135 pada penutupan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perjanjian ditandatangani itu dijangka memberi impak positif kepada ringgit berikutan Malaysia terus mengekalkan hubungan baik dengan negara asing.

“Dasar luar negara dan perdagangan secara konsisten menjurus ke arah menggalakkan integrasi global yang lebih besar terutamanya dalam bidang berkaitan rantaian bekalan,” katanya, lapor Bernama.

Afzanizam berkata, indeks dolar AS menurun 0.17 peratus kepada 98.783 mata dalam persekitaran optimisme bahawa AS dan China akan mencapai perjanjian perdagangan yang baik menjelang pertemuan antara kedua-dua pemimpin pada 30 Oktober ini.

Pada masa sama, jangkaan penurunan kadar faedah 25 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS esok turut menambah euforia dalam pasaran.

“Berikutan optimisme pasaran, ringgit diunjur melepasi paras RM4.20 hari ini,” kata Afzanizam lagi.

BACA JUGA Malaysia di ambang pembaharuan, rakyat bangkit tolak pembodohan