Malaysia di ambang pembaharuan, rakyat bangkit tolak pembodohan

Oleh LIYANA MARZUKI

Saya percaya, Malaysia sedang bergerak dari zaman troll dan pembodohan ke zaman Renaissance atau Pembaharuan.

Ini zaman di mana rakyat mahukan pemahaman, kecerdikan akal. Ini yang saya perhatikan di media sosial.

Laman sosial dan penulis yang mencerdikkan umat semakin mendapat tempat.

Zainal Rashid Ahmad atau lebih sohor dengan akronim ZRA, makin orang kenal, setelah Sumud Flotilla.

Penulis dan pemikir geopolitik muda seperti Ayman Rashdan Wong pun saya lihat penulisan beliau sudah masuk WhatsApp kampung-kampung.

Saya juga perasan, yang ZRA makin dekat bahasanya dengan marhaen. Kalau dulu kita tahu dia punya bahasa maarifat atau falsafah tinggi, sekarang “kotak kasut” dia pun boleh jadi trending.

Ayman Rashdan Wong pun sama. Bahasa makin lama makin menyengat dan membumi sesuai dibaca walaupun si anak kecil.

Mempertahan rakyat

Lumrah dalam sejarah peradaban manusia, apabila satu bangsa itu makin lemah dan diperbodohkan sang penguasa, golongan cerdik pandai akan bangkit mempertahankan rakyat dan ibu pertiwi.

Kitaran ini kita lihat dalam sejarah:

1) Zaman Gelap Eropah berakhir apabila para ilmuwan dan seniman bangkit mencabar dogma maka lahirlah era Renaissance.

2) Revolusi Meiji di Jepun mengangkat bangsa agraria menjadi kuasa industri. Ia hasil keberanian belajar dan berubah dari zaman tentera kuku besi.

3) Reformasi Indonesia selepas era autoritarian. Rakyat bangkit menolak manipulasi agama dan politik sempit, membuka jalan kepada generasi Jokowi.

Contoh terdekat, Indonesia. Bagaimana zaman 90-an hingga 2000-an, mereka porak-peranda dilemahkan dengan politik agama melampau.

Fanatik dan radikal melebarkan pengaruh hinggalah pengeboman Bali. Ia satu slap to the nation.

Mereka pulih selepas itu, apabila Renaissance bermula. Jokowi naik takhta. Lantik teknokrat dan bijak pandai memerintah negara.

Sekarang, cuba bandingkan line-up menteri mereka dan menteri kita. Banding resume sahaja, malunya kita. Level perlu menyorok bawah meja.

Titik sedar

Setiap bangsa ada titik sedarnya. Apabila rakyat mula berfikir, itu yang ditakutkan penguasa.

Doakan Malaysia cepat dan tangkas masuk ke era Pembaharuan. Apabila dinosaur politik yang membodohkan dan memandirkan rakyat cepat keluar dari arena.

Set-set yang sudah kenyang makan hasil negara tetapi masih lapar kuasa. Pohon kita nyahkan dari dunia politik negara.

Moga kita angkat pemimpin berwibawa yang bijak pandai, membumi dan ikhlas berjuang untuk ibu pertiwi.

Ini bermula dengan kita sendiri. Tingkatkan ilmu mandiri.

Tolak propaganda jahat yang langsung tidak mendahului akal, tetapi hanya menaikkan emosi.

Pengundi yang bijak boleh menilai sendiri.

Apabila seorang pemimpin Adikuasa Dunia menari zapin, itu jeratan soft diplomacy.

Videonya dipertonton seluruh dunia memberi dunia peluang mengenali Malaysia.

Video Trump atas MEX pun sudah capai puluhan juta tontonan. Bukankah bagus, dunia melihat negara kecil ini punya infra kelas pertama.

Bukan bermakna kita lupa saudara kita di Gaza cuma mentadbir negara kecil menghadapi dunia lebih luas dan ganas ada seninya bukan boleh ikut amarah. Kita perlu berstrategi penuh hikmah.

Kebijaksanaan mengimbangi

Renaissance bukan sekadar tentang ilmu, tetapi tentang kebijaksanaan mengimbangi idealisme dan realiti.

Inilah wajah pembaharuan yang kita harapkan. Rakyat yang celik, pemimpin yang bijak dan berkualiti dan negara yang mampu berdiri megah di mata dunia, tanpa hilang arah dan maruah.

Setiap zaman gelap menanti cahayanya dan setiap bangsa, pasti menanti mereka yang berani menyalakan lilin pertama.

Moga setiap daripada kita menjadi lilin itu, yang menerangi nusa bangsa.

BACA JUGA Fadhli alami mentaliti kerdil, kritik kerja orang, kerja sendiri tidak dibuat