Malaysia sasar jadi peneraju Revolusi AI ASEAN

Malaysia kini menegaskan komitmennya untuk menjadi peneraju utama dalam gelombang baharu kecerdasan buatan (AI) di rantau ASEAN.

Hasrat ini disuarakan dengan penuh keyakinan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) bertemakan “AI in Action: Driving Business Impact Across ASEAN” yang berlangsung semalam.

Gobind menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pemerhati dalam era AI, sebaliknya mesti menjadi negara yang berupaya memimpin dan membentuk hala tuju teknologi ini di rantau ini.

“Malaysia bukan sekadar perlu menyesuaikan diri dengan era AI, tetapi mesti diberi kuasa untuk memimpinnya,” kata Gobind.

Kenyataan beliau hadir tepat pada waktunya ketika ekonomi digital ASEAN dijangka mencecah AS$1 trilion (sekitar RM4.8 trilion) menjelang tahun 2030.

Ia bukan sahaja menggambarkan potensi besar yang menanti, tetapi juga cabaran getir yang memerlukan perancangan jitu dan dasar berpandangan jauh.

Menurut Gobind, perjalanan Malaysia menuju status AI Nation dibina atas tiga tonggak utama iaitu transformasi industri, pembangunan bakat serta pembinaan ekosistem inovasi yang dinamik.

Pendekatan ini selaras dengan usaha global memperkukuh daya saing ekonomi digital melalui teknologi pintar dan automasi.

Lebih menarik, kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa seperti Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google, Wilson L. White; Profesor Universiti Tokyo, Dr Yutaka Matsuo, dan Naib Pengerusi serta Presiden XPENG, Dr Brian Gu.

Kehadiran mereka memperlihatkan keyakinan dunia terhadap potensi Malaysia sebagai hab inovasi serantau.

Langkah ini mencerminkan perubahan paradigma daripada negara pengguna teknologi kepada pencipta dan penggerak ekosistem digital.

Namun, untuk benar-benar menjadi peneraju, Malaysia perlu memastikan dasar AI nasionalnya diterjemah kepada peluang pekerjaan berkualiti, kolaborasi penyelidikan dan kemasukan pelaburan strategik.

Hanya dengan itu, aspirasi menjadi kuasa AI ASEAN dapat direalisasikan sepenuhnya.

BACA JUGA 1,711 barangan Malaysia kini tidak dikenakan cukai di pasaran AS