Pegawai Mahiaddin dedah gerakan ‘tikam belakang’ didalangi orang kepercayaan sendiri

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan wujud gerakan terancang dari dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri untuk menyingkirkan bekas perdana menteri itu, tidak lama selepas beliau meletakkan jawatan pada 2021.

Menurut Marzuki, perubahan sikap segelintir pemimpin kanan parti mula ketara sebaik Muhyiddin tidak lagi menduduki kerusi Perdana Menteri, apabila arahan beliau tidak lagi diendahkan dan mesej-mesej yang dihantar tidak dijawab selama berhari-hari.

“Malah, seorang pemimpin sayap muda yang dianggap ‘anak emas’ Tan Sri Mahiaddin mula bercakap secara terang-terangan bahawa beliau tidak lagi relevan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Marzuki, suasana menjadi semakin sukar apabila Mahiaddin meskipun masih presiden parti, tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet, manakala pemimpin lain memegang jawatan menteri yang memiliki kuasa serta pengaruh besar.

“Susah sebenarnya apabila menjadi ketua parti yang tiada jawatan dalam kerajaan — ketua dipandang sebelah mata,” ujarnya.

Marzuki turut berkongsi perbualan peribadinya dengan Mahiaddin menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bersara

Beliau pernah mencadangkan agar Mahiaddin bersara daripada politik melihatkan tekanan dan kekangan yang dihadapi Ahli Parlimen Pagoh itu.

Namun, Mahiaddin menolak saranan tersebut dengan alasan beliau masih mempunyai tanggungjawab sebagai ketua parti.

“Beliau kata, kalau fikir tentang dirinya, sudah lama beliau berhenti.

“Tapi sebagai ketua parti, takkan mahu berundur ketika bala tenteranya sedang menghadapi perang,” kata Marzuki.

Hasilnya, menurut beliau, gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Mahiaddin berjaya memperoleh 74 kerusi Parlimen pada PRU-15 sekaligus menafikan tanggapan bahawa PN sekadar ‘parti nyamuk’.

Namun, selepas PN gagal membentuk kerajaan, tekanan terhadap Mahiaddin semakin memuncak, termasuk suara dalaman yang menyalahkan beliau atas kegagalan tersebut dan mempertikaikan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Dakwa Marzuki lagi, walaupun PN mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 dan Mahiaddin kekal popular dalam kalangan penyokong PN, gerakan untuk menyingkirkannya tetap diteruskan.

“Di depan beliau disanjung, tetapi di belakang pedang sedang diasah untuk dihunus apabila tiba masanya,” tulisnya lagi.

Beliau mengakui pada awalnya tidak menyampaikan maklumat mengenai gerakan tersebut kepada Mahiaddin.

Hal ini disebabkan Mahiaddin, katanya, tidak gemar mendengar cerita buruk tentang partinya lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang pernah menjadi orang kepercayaannya sendiri.

Dalam masa sama, Marzuki menggambarkan situasi itu sebagai pengkhianatan halus yang menunjukkan betapa politik dalaman Bersatu kini semakin rapuh dan sarat dengan perebutan pengaruh.

BACA JUGA Türkiye digegar gempa bumi magnitud 6.1