Selepas minta Mahiaddin berundur, Saifuddin hilang jawatan Pengerusi PN Pahang

Selepas dua hari meminta Tan Sri Mahiaddin Yassin berundur sebagai Presiden Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang.

Selain Saifuddin, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli juga digugurkan jawatan sebagai Pengerusi PN Perlis.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN Pahang), dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN Perlis) kini menyandang jawatan pengerusi bagi kedua-dua negeri itu.

Pelantikan berkuat kuasa hari ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MPTN) malam tadi, dipengerusikan Mahiaddin.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, malam tadi.

Sebelum ini, Saifuddin mendesak Mahiaddin melepaskan jawatannya sebagai Presiden Bersatu dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu sudah kehilangan kualiti kepimpinan yang pernah dimilikinya.

Saifuddin berkata, Mahiaddin sudah hilang kualiti kepimpinan dan Ahli Parlimen Pagoh itu bukan lagi Mahiaddin yang dikenalinya dahulu.

Beliau bahkan mempersoalkan cara Mahiaddin menguruskan kepimpinan tertinggi parti yang disifatkannya tidak lagi inklusif, termasuk kegagalan mengadakan mesyuarat MPT.

Malam tadi, Azmin turut mengumumkan jawatan Pengerusi PN bagi negeri-negeri lain seperti berikut:

  • Johor: Datuk Dr Sahruddin Jamal
  • Kedah: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
  • Kelantan: Datuk Ahmad Yakob
  • Melaka: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin
  • Negeri Sembilan: Mohamed Hanifah Abu Baker
  • Perak: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
  • Pulau Pinang: Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
  • Sabah: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
  • Sarawak: Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
  • Selangor: Mohamed Azmin
  • Terengganu: Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
  • Wilayah Persekutuan: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidi

BACA JUGA PMO nafi dokumen tular dakwa individu bawah 16 tahun dilarang guna telefon pintar