Tular kisah penyewa dari ‘neraka’, terkejut lihat rumah penuh longgokan barang

Tular di media sosial kisah seorang penyewa yang digelar tuan rumah sebagai dari neraka apabila kediamannya dipenuhi longgokan barangan dan sampah.

Pengguna TikTok, ftnramlie memberitahu beliau dan suaminya boleh bertolak ansur jika penyewa lewat melunaskan bayaran.

Namun, apa yang membuatkan pasangan itu terkejut apabila melihatkan keadaan rumah yang berkelengkapan penuh milik mereka telah bertukar menjadi amat kotor dan tidak terurus.

Pemilik rumah yang dikenali sebagai Wanie berkata, hal itu hanya diketahui selepas bil air tertungak sebanyak RM200 selain bil elektrik juga tidak dilunaskan penyewa.

“Itu yang kami pergi tengok sebab apa bil sampai melambung tinggi macam tu,” katanya menjawab soalan netizen.

Tambahnya, rumah teres tiga bilik itu disewakan RM1,500 sebulan.

Dalam rakaman video lain yang dikongsikan Wanie, kelihatan suaminya sedang berkeras dengan penyewa terbabit yang merupakan seorang wanita.

“Suami saya bukan jenis lelaki yang marah-marah, selagi boleh bercakap elok, dia akan cakap elok.

“Tapi sebelum pada video ni, dia (penyewa) banyak (cakap) pusing lagi. Dia cakap barang-barang ni baru keluarkan untuk pindah.

“Padahal, barang ni memang duduk kat sini sebab dua bilik memang tak boleh nak buka langsung (pintu) sebab penuh dengan barang-barang dia,” katanya lagi.

Untuk rekod, kecelaruan mengumpul barangan (hoarding disorder) adalah salah satu kecelaruan yang berkait dengan kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD), menurut pakar psikologi.

‘Hoarding disorder’ adalah keadaan individu yang sukar untuk membuang atau berpisah dengan objek dimiliki walaupun barang itu tiada nilai sentimental atau istimewa dalam hidupnya.

Ia adalah satu gangguan mental yang boleh menjejaskan fungsi harian, kesihatan fizikal dan kesejahteraan emosi.

BACA JUGA Malaysia di ambang pembaharuan, rakyat bangkit tolak pembodohan