Ini sebabnya Menteri Agama saman individu fitnah isu pondok di Kelantan dan Kedah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata tindakan saman yang dikemukakan terhadap individu yang menuduh kerajaan menutup sekolah pondok di Kelantan dan Kedah perlu dijadikan pengajaran supaya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan.
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan bahawa beliau membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial berkenaan dan peguamnya akan mengambil tindakan susulan.
“Tuduhan itu sangat serius. Kerajaan MADANI ini memang bersungguh-sungguh untuk membangunkan sekolah institusi pondok dan ia adalah antara agenda terpenting Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita dapat lihat bagaimana beliau menyantuni guru pondok di seluruh negara.
“Jadi, apa yang dituduh oleh individu itu langsung tidak berasas dan perkara ini tidak boleh dibuat main-main, dan sebab itu saya ambil tindakan untuk memulakan tindakan saman terhadap individu itu,” ujarnya.
Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Peluncuran Modul Mini Tahfiz Al Falah di Kompleks Pendidikan Islam Bangi hari ini.
Terdahulu, Mohd Na’im menuntut seorang pengguna laman Facebook menarik balik tuduhan dan memadamkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berhubung isu penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.
Jika individu terbabit, yang dikenali sebagai Muhammad Hafiz Sahidi gagal menarik kenyataan itu dan membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam, beliau menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang.
Ia termasuk bagi mendapatkan perintah injunksi dan menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, termasuk kos, faedah dan sebarang tanggungan yang diperintahkan mahkamah.
BACA JUGA Menjawab fitnah Petronas kena sakau: Ini cerita sebenar di sebalik import LNG dari AS