Kapsyen satu titik Anwar seusai sidang kemuncak ASEAN melabuhkan tirai jadi perhatian

Hanya satu titik. Kapsyen ringkas dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook malam tadi seusai penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi perhatian ramai.

Beliau berkongsi satu foto yang kelihatannya sedang duduk di dalam kereta sambil mengelap cermin mata, namun jelas keletihan selepas melalui hari yang panjang mengendalikan urusan rasmi negara.

Memandangkan Perdana Menteri merupakan Pengerusi ASEAN, Malaysia menjadi tuan rumah untuk sidang kemuncak yang berlangsung di Kuala Lumpur selama tiga hari.

Sidang ini menghimpunkan 10 negara anggota ASEAN dan juga melibatkan sejumlah rakan dialog dan kuasa besar antarabangsa.

Sidang ini juga melibatkan pertemuan dengan negara seperti Amerika Syarikat (AS), China, India, Russia, Japan, Australia, New Zealand dan sebagainya. 

Beberapa detik penting dicatat, termasuk penerimaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN selepas hampir dua dekad menunggu, serta penandatanganan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Accord) antara Thailand dan Kemboja.

Sementara itu, ruangan Facebook Anwar dihujani pelbagai komen. Seorang pengguna, At Tan, menulis bahawa pertemuan dan dialog sepanjang sidang kali ini amat memenatkan kerana “tidak pernah sebelum ini mana-mana Perdana Menteri Malaysia bertemu dan meraikan beratus pemimpin dunia dalam masa yang sama.”

Bagi Ed Lim, sidang kali ini memperlihatkan banyak perkembangan positif, termasuk momen menyentuh hati apabila seluruh delegasi Timor-Leste menangis kegembiraan kerana penantian panjang mereka akhirnya menjadi kenyataan.

Dia turut menyebut bagaimana Anwar sempat meraikan hari jadi Presiden Brazil dalam suasana meriah di sela-sela acara rasmi.

Sementara itu, Kamal Nasharuddin menitipkan doa agar Perdana Menteri terus dipermudahkan urusan dan berjaya dalam usahanya membawa keamanan serta kemakmuran kepada rakyat dan dunia.

Sepanjang hampir 60 tahun ASEAN ditubuhkan, Malaysia sudah lima kali menggalas tanggungjawab dan sudi mempengerusikan sidang kemuncak ASEAN iaitu bermula pada 1977, 1997, 2005, 2015 dan 2025 menjadi tahun kelimanya.

BACA JUGA Baca perjanjian kena baca penuh, bukan sekerat – Tengku Zafrul tegur Azmin