Krisis Bersatu: Ketua bahagian Kepala Batas juga mahukan transisi kuasa
Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas Khaliq Mehtab Mohd Ishaq turut sama menyeru agar proses transisi kuasa diadakan secara tuntas, segera demi perpaduan dan hala tuju masa depan Bersatu.
“Saya berpendapat bahawa proses transisi kuasa (transitional plan/succession plan) wajar dilaksanakan secara tuntas, segera dan berhemah demi memperkukuh perpaduan serta hala tuju masa depan parti,” katanya dalam surat terbuka kepada presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin.
“Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan atas niat untuk menentang kepimpinan.”
Khaliq yang telah dilantik sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi bagaimanapun telah dihentikan khidmatnya ekoran mengambil pendirian bertentangan dengan Mahiaddin.
“Saya berharap agar pada masa akan datang, pelantikan ke MPT dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan “Yes Man”.
“Parti yang kuat terbina daripada kepelbagaian pandangan dan keberanian menyatakan kebenaran.”
Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu.
Seruan transisi kuasa ini turut dibuat oleh kumpulan yang menyokong timbalan presidan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengambil alih tampuk kepimpinan.
Mahiaddin bagaimanapun disokong kuat oleh setiausaha agung parti Datuk Azmin Ali dan ketua penerangan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Untuk rekod, Khaliq ialah mantan ADUN Bertam dan pernah menjadi ketua pembangkang di Pulau Pinang selama satu penggal.
Seruan peralihan kuasa mula dicanangkan oleh Armada Bersatu Larut.
BACA JUGA: Azmin, Tun Faisal di sebalik krisis Bersatu, dakwa penyokong
Krisis Bersatu: Laksanakan pelan peralihan kepimpinan, kata Armada Bersatu Larut