Krisis Bersatu: Laksanakan pelan peralihan kepimpinan, kata Armada Bersatu Larut

Armada Bersatu Larut pula mahu parti mereka melaksanakan rancangan pelan peralihan kepimpinan demi kesatuan Perikatan Nasional sebelum pilihan raya umum ke-16.

Seruan ini dibuat beberapa hari selepas ketua Bersatu Dungun Datuk Abdul Aziz Ismail menggesa presiden Tan Sri Mahiaddin Yassin bercuti sementara ekoran pertembungan para pemimpin Bersatu secara terbuka.

Ketua Armada Bersatu Larut Nur Firdaus Hamzah berkata sayapnya sedar akan cabaran yang dihadapi oleh pimpinan parti, termasuk kesihatan Mahiaddin dan kes mahkamahnya.

“Kami menyeru agar pelan peralihan kepimpinan dilaksanakan secara terhormat dan baik demi kestabilan Bersatu dan memperkukuhkan PN yang bersedia untuk PRU16,” kata Nur Firdaus.

Nur Firdaus turut menyatakan sokongannya kepada anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang mahukan keterbukaan dan demokrasi di dalam Bersatu.

“Bersatu mesti mengamalkan prinsip demokrasi dan keterbukaan. Di dalam parti politik yang sihat, kritikan bukan pengkhianatan. Ia satu kaedah semak imbang yang diraikan.”

Ekoran daripada kritikan terbuka Saifuddin terhadap Mahiaddin, ketua penerangan Bersatu, Harris Idaham Rashid mahu tindakan disiplin diambil terhadap Saifuddin.

Harris juga berkata Saifuddin wajar keluar parti jika Saifuddin sudah hilang kepercayaan terhadap presiden.

Nur Firdaus berkata Armada Bersatu Larut menolak kenyataan Harris yang tidak mencerminkan kedudukan sebenar Armada Bersatu Larut dan majoriti Armada Bersatu Perak.

“Beliau sepatutnya menjuarai isu rakyat bukan mempromosi dirinya.”

BACA JUGA: ‘Asyik-asyik tak ada duit, baik undur secara terhormat, Mahiaddin