Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu pula letak jawatan

Bersatu terus bergolak apabila Ketua Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq meletak jawatan sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan parti itu.

Keputusan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam itu diambil selepas lantikannya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Januari lalu ditamatkan.

Dalam masa sama, Khaliq menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai Ahli MPT sebelum ini.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, saya berusaha sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh integriti, keikhlasan serta komitmen terhadap perjuangan parti.

“Bagaimanapun, saya akur bahawa perkhidmatan saya sebagai Ahli MPT dihentikan berikutan saya tidak menyokong sepenuhnya pendirian Presiden dalam beberapa perkara tertentu.

“Saya menghormati keputusan itu, namun sebagai Ahli MPT yang dipilih untuk memperkukuh institusi parti, saya percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza adalah sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti yang kita cintai ini,” katanya.

Peguam dan ahli perniagaan berusia 49 tahun itu dalam masa sama mencadangkan proses transisi kepimpinan dilaksanakan secara tuntas dan berhemah bagi memperkukuh perpaduan serta hala tuju masa depan parti.

“Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan niat untuk menentang kepimpinan.

“Akhir sekali, saya berharap pada masa akan datang, pelantikan Ahli MPT dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan ‘Yes Man’.

“Parti yang kuat terbina daripada kepelbagaian pandangan dan keberanian menyatakan kebenaran,” kata Khaliq lagi.

BACA JUGA Bersatu bertelagah: Pas sedar PN akan ranap kalau…