Tengku Zafrul jawab kebimbangan Kelantan mengenai REE

Malaysia kekal melarang eksport mineral nadir bumi (REE) mentah sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran dan penciptaan nilai dalam negara, tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, dasar tersebut bertujuan memastikan Malaysia tidak lagi menjadi negara pengeksport bahan mentah murah seperti pada masa lalu.

“Maknanya nilai tambah mesti berlaku di Malaysia. Pekerjaan berkemahiran tinggi mesti diwujudkan di Malaysia. Teknologi pemprosesan mesti masuk ke Malaysia.

“Kita tidak lagi mahu menjadi negara yang hanya menggali dan menghantar keluar bahan mentah murah seperti masa silam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini dalam sesi kenyataan menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS).

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan menggalakkan pelaburan asing serta perkongsian teknologi dalam aktiviti perlombongan REE mentah bagi membangunkan ekosistem industri domestik yang lebih bersepadu.

Malaysia, jelasnya, terbuka kepada kerjasama strategik termasuk dengan AS dan Australia, terutamanya menerusi potensi kerjasama tiga hala antara Malaysia, AS dan Lynas dalam pembangunan sektor REE.

“Saya ulang, kalau ada apa-apa pembangunan sumber strategik negara, ia akan berlaku mengikut undang-undang Malaysia, di tanah Malaysia, dengan kawalan kedaulatan Malaysia, bukan sesuka hati mengikut kehendak pelabur asing,” tegasnya.

Eksport bahan mentah

Dalam masa sama, Zafrul menjelaskan bahawa dasar kerajaan bukan bertujuan menyekat perdagangan selama-lamanya, sebaliknya untuk mengelakkan eksport bahan mentah yang tidak diproses.

“Selepas diproses di dalam negara mengikut undang-undang dan piawaian kita sendiri, dan selepas nilai itu dicipta di sini, produk hiliran bernilai tinggi bolehlah dieksport sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global,” katanya.

Zafrul menegaskan bahawa prinsip yang sama digunakan dalam sektor lain seperti minyak dan gas, getah, koko dan sawit di mana eksport produk hiliran dibenarkan selepas melalui proses penambahbaikan nilai dalam negara.

“Inilah caranya kita memastikan pekerjaan berkemahiran tinggi, teknologi pemprosesan dan nilai industri kekal di Malaysia bukannya disedut keluar sebagai bijih mentah dengan harga murah,” tegasnya.

Malah, beliau turut memberi jaminan bahawa semua pelaksanaan dan fasilitasi pelaburan di bawah perjanjian perdagangan tersebut akan dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan dasar negara, bagi memastikan sektor strategik kekal dilindungi.

Sementara itu, Kelantan mempersoalkan bagaimana perjanjian berbilion ringgit yang menyentuh hasil REE negeri dengan AS boleh dibuat tanpa pandangan kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, situasi itu menyimpang dari semangat federalisme dan menafikan hak negeri yang dijamin dalam Perlembagaan.

Mohamed Fadzli berkata, negeri itu memiliki deposit REE tidak radioaktif (NREE) kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu dengan nilai mencecah ratusan bilion ringgit.

Jelasnya, berbeza dengan petroleum, sumber NREE itu terletak di daratan dan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ketika ini juga, ujar beliau, banyak pelabur luar datang ke Kelantan untuk melombong dan membeli NREE bagi dibawa balik ke negara mereka untuk diproses, namun kerajaan negeri menolak pendekatan itu.

Untuk rekod, Malaysia melaksanakan moratorium eksport REE mentah bermula 1 Januari 2024 bagi menggalakkan pembangunan industri pemprosesan dan hiliran dalam negara.

Langkah tersebut bertujuan meningkatkan nilai tambah, mewujudkan peluang pekerjaan serta menggalakkan pemindahan teknologi.

BACA JUGA Ini sebabnya Menteri Agama saman individu fitnah isu pondok di Kelantan dan Kedah