Tengku Zafrul ‘sekolahkan’ MP Pasir Gudang
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyanggah tuduhan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim kononnya kerajaan menyerahkan RM1 trilion kepada Amerika Syarikat (AS).
Tengku Zafrul berkata, dakwaan tersebut jelas berpunca daripada individu yang tidak membaca keseluruhan teks perjanjian tetapi bercakap seolah-olah mereka berada di meja rundingan.
“Banyak tuduhan berlegar di media sosial termasuk individu-individu yang tidak pun membaca keseluruhan teks perjanjian tetapi bercakap seolah-olah mereka berada di meja perundingan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menegaskan bahawa senarai perolehan di bawah perjanjian dengan AS itu bukan perkara baharu.
Sebaliknya, kata beliau merupakan cadangan pembelian sedia ada oleh syarikat-syarikat tempatan yang dibuat atas dasar komersial.
“Komitmen pertimbangan komersial di bawah seksyen enam perjanjian ini tiada kena-mengena dengan perbelanjaan kerajaan,” tegas Tengku Zafrul.
Beliau turut memberi contoh bahawa pembelian pesawat Boeing oleh syarikat tempatan telah diumumkan pada Mac lalu, jauh lebih awal daripada sebarang pengumuman tarif oleh Presiden AS, Donald Trump.
Selain itu, jelasnya, cadangan perolehan gas asli cecair (LNG) oleh Petronas juga bukan sesuatu yang baharu kerana syarikat itu sudah lama membeli LNG dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat.
“Sebelum pengumuman tarif pun, Petronas sudah beli LNG dari AS. Tapi sebab kita tidak kerja di Petronas, bila dengar pengumuman saja terus melompat sedangkan perkara ini bukan baru,” ujarnya.
Menurut Tengku Zafrul, pembelian tersebut adalah sebahagian daripada strategi komersial Petronas untuk memastikan kestabilan bekalan tenaga negara dan memenuhi komitmen kontrak domestik serta antarabangsa.
BACA JUGA Ini sebabnya Menteri Agama saman individu fitnah isu pondok di Kelantan dan Kedah