Bloomberg kata Amerika untung, tapi ahli ekonomi Malaysia kata sebaliknya

OLEH ISLAH

Ramai yang risau. Bila dengar tentang rundingan dengan Amerika, ramai tertanya.
Adakah ini tandanya kita sedang tunduk? Adakah Malaysia sedang dijual sedikit demi sedikit?

Keresahan itu wajar. Kerana rakyat pernah lihat bagaimana negara kecil sering dipaksa akur pada kuasa besar.

Tapi kali ini, jalan yang diambil bukanlah jalan untuk menyerah.

Bloomberg melaporkan bahawa perjanjian perdagangan baru ini “lebih banyak menguntungkan Amerika”, malah dikatakan hanya beri kesan kecil kepada Malaysia.
Namun beberapa ahli ekonomi melihatnya dari sisi lain.

Mereka menegaskan bahawa rundingan ini bukan soal kalah atau menang, tetapi cara Malaysia menyesuaikan diri dalam dunia perdagangan yang semakin berat sebelah.

Ahli ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menyifatkan langkah ini sebagai strategi jangka panjang untuk membuka ruang pelaburan, mempelbagaikan pasaran, dan mengekalkan daya saing negara.

Dan hasilnya jelas. Tarif berjaya diturunkan daripada 25% ke 19%.

Sebanyak 1,711 produk utama termasuk sawit, getah, aeroangkasa dan farmaseutikal dikecualikan tarif.

Nilai eksport sebanyak RM22 bilion berjaya diselamatkan.

Lebih penting, tiada satu pun garis merah negara yang dilanggar. Hak Bumiputera kekal.
Dasar perolehan kerajaan kekal. Sektor strategik seperti tenaga dan telekomunikasi kekal di bawah kawalan negara.

Bloomberg boleh terus menyoal, tetapi angka dan fakta menunjukkan, Malaysia tidak tunduk.

Kita berunding demi melindungi rezeki rakyat, bukan demi sorakan Washington.

Kerana dalam dunia yang penuh tekanan geopolitik ini, kadangkala kekuatan bukan diukur pada siapa yang menjerit paling kuat, tetapi siapa yang mampu bertahan dengan kepala tegak, dan hati yang masih berpihak kepada rakyat.

BACA JUGA Jawapan tenang PM Anwar tutup aib politik fitnah pembangkang