Kebebasan media bukan ancaman tetapi asas kepada ketelusan pentadbiran
Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam tindakan seorang menteri kerajaan Madani yang didakwa mengugut dan menghina wartawan Utusan Malaysia ketika wartawan itu menjalankan tugas, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Geramm berkata insiden tersebut amat serius dan mencerminkan sikap tidak menghormati kebebasan media serta peranan wartawan dalam sistem demokrasi negara.
“Wartawan mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bertanya terutama kepada ahli politik dan penjawat awam bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu yang menjadi kepentingan awam,” tegas kenyataan itu.
Geramm menegaskan bahawa soalan wartawan bukan serangan peribadi, sebaliknya sebahagian daripada proses semak dan imbang dalam sebuah kerajaan demokratik.
Oleh itu, sebarang reaksi berbentuk kemarahan, ugutan atau penghinaan terhadap wartawan yang hanya menjalankan tugas dianggap “tidak beradab dan tidak boleh diterima”, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada seorang menteri.
“Seorang menteri perlu memahami bahawa kebebasan media bukan ancaman, tetapi asas kepada ketelusan pentadbiran.
“Wartawan tidak perlu dipuji, tetapi juga tidak wajar dijadikan sasaran penghinaan hanya kerana bertanya soalan yang sukar,” kata Geramm lagi.
Mengugut wartawan
Kenyataan itu turut memberi amaran bahawa tindakan menghina atau mengugut wartawan boleh mencipta suasana takut dalam kalangan pengamal media, sekali gus menghakis keberanian mereka untuk bertanya perkara yang penting kepada masyarakat.
Sehubungan itu, Geramm menyeru semua pemimpin politik dan penjawat awam agar mengamalkan budaya menghormati media serta bersedia menjawab pertanyaan secara terbuka dan profesional.
Jika tidak berpuas hati dengan cara soalan dikemukakan, jelas Geramm, ia wajar dijawab dengan hujah atau penjelasan bukan dengan ugutan, herdikan atau penghinaan.
“Apabila seorang wartawan dihina atau diugut kerana bertanya, mesej yang dihantar ialah bahawa soalan kini dianggap salah.
“Sedangkan bertanya adalah tugas utama wartawan, dan apabila tugas itu disekat, seluruh masyarakat yang akan rugi,” tegas Geramm lagi.
Organisasi yang memperjuangkan kebebasan media dan keselamatan wartawan itu turut mengingatkan bahawa kebebasan media bukanlah musuh kepada kerajaan yang baik, sebaliknya berfungsi sebagai cermin untuk memperbaiki dan mengingatkan.
“Wartawan bertanya bukan kerana mahu mencari salah, tetapi kerana rakyat berhak tahu,” tegas Geramm lagi.
BACA JUGA Bloomberg kata Amerika untung, tapi ahli ekonomi Malaysia kata sebaliknya