Lucu Kelantan gagal urus isu asas tapi mahu bicara kedaulatan ekonomi global

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar secara sinis berkata, agak lucu apabila kerajaan negeri yang masih gagal mengurus isu asas seperti isu air dan banjir, mahu bercerita tentang kedaulatan ekonomi global.

Beliau berkata, perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat yang dibimbangkan Kelantan bukanlah perjanjian menjual mineral nadir bumi (REE) kepada Amerika, tetapi kerjasama pelaburan dan teknologi supaya Malaysia termasuk Kelantan boleh memproses dan jana nilai tambah dalam negara.

Dasar ini selari dengan pendirian kerajaan negeri Kelantan yang mahu REE diproses di dalam negeri dan bukan digali serta dijual mentah. 

“Maka, tiada percanggahan dasar antara pusat dan negeri. Yang berbeza hanyalah persepsi terhadap niat sebenar perjanjian tersebut.

“Hak negeri terhadap REE tidak terusik walau seinci, sebab ia dijamin oleh Perlembagaan. 

“Yang menakut-nakutkan rakyat konon hasil negeri akan dirampas hanyalah cubaan menutup kelemahan sendiri. hasil ada, tapi pengurusan tiada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan Kelantan mengenai perjanjian eksport REE dengan Amerika Syarikat (AS) 

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, Kerajaan Persekutuan hari ini bukan kerajaan 1970-an yang merampas hak negeri kerana dasar negara jelas bahawa REE mesti diproses di dalam negara, bukan dieksport mentah.

Tegasnya, perjanjian Malaysia–Amerika bukan perjanjian menjual negara, sebaliknya perjanjian perdagangan dua hala yang bertujuan untuk membuka pasaran, tarik pelaburan, dan mengukuhkan keyakinan ekonomi.

“Lucu juga bila kerajaan negeri yang masih gagal urus sampah, air dan banjir, tiba-tiba mahu bercerita tentang kedaulatan ekonomi global.

“Dalam isu REE, tak ada satu ayat pun yang menyerahkan hak negeri kepada mana-mana kuasa luar. REE kekal bawah kuasa negeri. Kalau nak lombong, lesen tetap kena keluar oleh kerajaan negeri.

“Persekutuan cuma kawal dasar keselamatan, eksport, dan standard persekutuan. Itu normal dalam mana-mana sistem federal.

“Mungkin sudah tiba masanya kerajaan negeri Kelantan lebih sibuk menyiapkan pelan industri sebenar daripada menulis skrip drama politik lama “kami dizalimi lagi”,” ujarnya.

BACA JUGA Ringgit naik tujuh hari berturut, kini RM4.18 berbanding Dolar Amerika