Malaysia boleh tarik diri jika rugi, perjanjian ART dengan AS ada ‘exit clause’

Oleh NAZRI HAMDAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART 2025) dengan Amerika Syarikat (AS) mempunyai klausa yang membolehkan negara menamatkan atau menarik diri secara sah.

Jadi, kalau Malaysia rasa rugi atau terancam, kita boleh tarik diri bila-bila masa.

Beliau juga menekankan bahawa rundingan ini disemak rapi oleh pegawai kanan kerajaan untuk pastikan kepentingan negara terjamin.

Jadi, tuduhan “perjanjian penjajahan” adalah tiada asas sebab Malaysia masih pegang kawalan penuh.

PMX juga siap sindir pihak pembangkang yang suka cari salah tanpa lihat manfaat sebenar contohnya peluang pelaburan dari AS yang boleh bantu cipta pekerjaan dan tingkat daya saing negara.

Perjanjian ini bagi kelebihan kepada barangan industri dan pertanian AS, tapi dalam masa sama, Malaysia dapat jaminan pasaran lebih stabil serta kerjasama dalam mineral nadir bumi dan teknologi.

Anwar juga bangga sebab Malaysia boleh berdagang dua-dua belah yang mana ada perjanjian dengan AS dan China serentak bukti diplomasi Malaysia dihormati.

‘Pintu kecemasan’

Exit clause ini sebenarnya satu ‘pintu kecemasan’ dalam mana-mana perjanjian antarabangsa.

Maksud dia, kalau satu pihak rasa perjanjian tu dah tak seimbang, atau menjejaskan kedaulatan ekonomi negara, negara itu boleh keluar dengan notis rasmi, biasanya dalam tempoh 6 hingga 12 bulan.

Dalam kes perjanjian perdagangan Malaysia-AS ni, Anwar tekankan yang Malaysia tidak terikat selama-lamanya.

Kalau contohnya, AS tiba-tiba ubah dasar dan kenakan tarif tambahan 40% ke atas barangan kita (macam kelapa sawit atau semikonduktor), Malaysia boleh aktifkan klausa keluar itu.

Jadi, walaupun sekarang kita tandatangan untuk tarik pelaburan AS, kita tetap ada pelindung undang-undang supaya tidak menjadi mangsa tekanan ekonomi.

Nak senang faham, katakanlah contohnya selepas dua tahun, AS guna kuasa politik untuk paksa Malaysia hentikan eksport nadir bumi ke China sebab nak lindungi kepentingan sendiri.

Kalau Malaysia ikut, kita mungkin rugi RM8 bilion setahun dari perdagangan dengan China. Tapi kalau Malaysia lawan, AS mungkin ugut tarik balik status tarif rendah untuk barangan Malaysia.

Dalam situasi seperti ini, kerajaan boleh buat keputusan sama ada runding semula atau keluar terus dari perjanjian dengan notis rasmi.

Itu sebabnya Anwar kata “we can exit if we want” yang mana itu ialah langkah strategik untuk pastikan Malaysia kekal berdaulat dan bebas buat keputusan ikut kepentingan sendiri, bukan ikut kuasa besar.

BACA JUGA Baca perjanjian kena baca penuh, bukan sekerat – Tengku Zafrul tegur Azmin