Petunjuk baharu di mana menantu Mahiaddin berada sudah ditemui
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan sudah menemui beberapa petunjuk baharu mengenai keberadaan menantu Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun enggan memperincikan perkembangan terkini mengenai Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang kini dipercayai menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
“Isu sekarang ialah keberadaannya (Adlan).
“Saya boleh sebut bahawa kerjasama antara kita dengan polis antarabangsa (Interpol) sedang berjalan dan sememangnya kita menemui beberapa petunjuk baru.
“Saya tak mahu berbincang dengan lebih lanjut sebab itu boleh mengganggu siasatan kita,” katanya.
Saifuddin berkata demikian semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bertanyakan mengenai adakah boleh meminta Mahiaddin (PN-Pagoh) memberi maklumat di mana menantunya itu berada.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sudah selesai menyiasat kes pecah amanah membabitkan Muhammad Adlan.
Azam berkata, tugas SPRM Ketika ini adalah memastikan pertuduhan terhadap ahli perniagaan dalam buruan itu dan peguamnya, Mansoor Saat, berlaku di negara ini.
Namun, beliau mengakui siasatan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini berdepan kesukaran untuk membawa pulang kedua-dua suspek berikutan beberapa faktor, termasuklah mengenal pasti aset di luar negara.
Menurutnya, siasatan termasuk mengenal pasti aset di luar negara mengambil masa dan memerlukan kerjasama dengan negara luar.
Jika dapat dikesan, kata Azam, ia akan dikenalpasti sama ada berkaitan dengan siasatan yang dilakukan SPRM.
Beliau memaklumkan bahawa setakat ini SPRM sedang mengenal pasti aset-aset Adlan termasuk kemungkinan penggunaan proksi dalam pemilikan itu.
Adlan telah melarikan diri sejak Me 2023 dan dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Menantu Mahiaddin itu dilaporkan kerap keluar masuk negara tersebut untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.
BACA JUGA Malaysia boleh tarik diri jika rugi, perjanjian ART dengan AS ada ‘exit clause’