Syed Saddiq pertahan PM, sekejap dilabel pro China, sekejap pro AS pula…

Kedudukan sebagai Perdana Menteri yang digalas Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan tugas mudah apabila setiap langkah diplomatik dan hubungan dengan kuasa dunia, sering dijadikan modal politik.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Anwar sering berdepan pelbagai label apabila sekejap dikritik pro-China, kemudian dituduh pro-Rusia, dan apabila menjalinkan hubungan dengan Washington, dilabel pula pro-Amerika Syarikat.

“Saya kesiankan PM Malaysia. Sekejap dilabel pro China dan pro Rusia. Ini beberapa bulan yang lepas kerana berjumpa dengan Presiden Putin. Nampak terlalu dekat dengan Brics sampai sekatan dagangan dikenakan ke atas malaysia 

“Pada masa tersebut ada juga memerli kenapa tak mendekati Donald Trump. Tak dapat panggilan daripada Presiden Trump. Tetapi akhirnya bila mendekati, dilabel pro US pula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tidak hanya itu, Syed Saddiq berkata Anwar juga pernah dilabel sebagai “terpaling Hamas” apabila menjadi antara pemimpin Islam yang berani berjumpa dengan Ismail Haniyeh dan menyalurkan RM200 juta bagi pelan pembangunan Hamas.

Katanya, Malaysia ketika itu turut beberapa kali ditegur melalui nota diplomatik kerana pendirian tegas terhadap Palestin. 

“Namun kini, Perdana Menteri pula dilabel tidak lagi prihatin terhadap isu Palestin,” ujarnya.

Beliau berkata, realitinya sesiapa pun yang menduduki kerusi Perdana Menteri, sebenarnya perlu bijak mengimbangi hubungan antara gergasi gergasi besar. 

“Kalau tidak impak yang teruk adalah kepada negara kita,” katanya.

BACA JUGA Lucu Kelantan gagal urus isu asas tapi mahu bicara kedaulatan ekonomi global