Pekerja bank mohon maaf muat naik gambar suntingan keterlaluan hina PM

Seorang pengguna media sosial yang juga pekerja di sebuah syarikat bank terkenal membuat permohonan maaf selepas berkongsi gambar Perdana Menteri yang disunting secara keterlaluan dan memalukan.

Gambar itu memaparkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenakan sari dari bendera lambang Israel yang mencetuskan kemarahan ramai kerana menghina.

Individu bernama Siti Nurziswanis dalam satu permohonan maaf secara terbuka mengakui, tindakannya telah menimbulkan salah faham dan tiada niat untuk memalukan mana-mana pihak terutama Perdana Menteri.

Hantaran menghina itu juga telah pun dipadam dari akaun media sosial miliknya. 

“Saya dengan penuh rasa rendah diri ingin memohon maaf atas satu posting yang telah saya kongsikan baru-baru ini di akaun Facebook peribadi saya.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa segala pandangan dan posting yang dibuat adalah daripada akaun peribadi saya sendiri dan tidak mewakili atau mempunyai sebarang kaitan dengan pihak majikan saya.

“Sekali lagi, saya dengan tulus hati memohon maaf kepada YAB Perdana Menteri, para penyokong beliau, serta semua pihak yang mungkin terkesan atau berasa kurang senang dengan tindakan saya. Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan ini,” ujarnya.

Dalam satu respon segera dari pihak majikannya, syarikat kewangan itu memandang serius hantaran media sosial yang tular berkait salah seorang pekerjanya dan sedang menjalankan siasatan dalaman yang menyeluruh.

Syarikat itu menegaskan tindakan tatatertib yang sewajarnya akan diambil jika terdapat sebarang pelanggaran Kod Etika dan Tatalaku Kumpulan.

“RHB sedia maklum tentang catatan media sosial yang didakwa dibuat oleh salah seorang pekerja kami. 

“Kami ingin menekankan bahawa pandangan yang dinyatakan adalah bersifat peribadi dan tidak, dalam apa jua cara, mewakili atau mencerminkan kedudukan Kumpulan Perbankan RHB.

“RHB menegakkan piawaian profesionalisme, integriti dan rasa hormat yang tertinggi dalam semua penglibatan kami — di dalam dan di luar tempat kerja. Kami memandang serius perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dalaman yang menyeluruh,” ujarnya.

BACA JUGA Menjawab dakwaan 4 orang MB negeri SG4 tentang isu REE