Kita hormat kebebasan media, kata KPKT
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan komitmennya untuk sentiasa menghormati kebebasan media serta menghargai peranan penting pengamal media.
KPKT menyatakan menghargai sumbangan media tempatan dan antarabangsa melalui liputan yang diberikan, serta menghormati kebebasan wartawan Utusan Malaysia untuk mengemukakan soalan yang telah menimbulkan kontroversi.
“Namun, KPKT menjelaskan pihak yang menjawab soalan juga wajar mempunyai ruang untuk memberi respons kepada setiap persoalan yang diajukan.
“Selain itu, teguran secara berhemah bagi memastikan ketepatan fakta dan kefahaman bersama juga adalah kaedah kebersamaan demi mencapai objektif program serta dasar kerajaan,” menurut kenyataan KPKT.
Sidang media yang diadakan bagi pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 atau I LITE U bertujuan memperkukuh usaha promosi pelancongan negara, selain menarik perhatian pelancong antarabangsa terhadap keunikan dan daya tarikan ikonik.
“Sebagai tanda komitmen dalam menjunjung martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, keseluruhan sidang media oleh Menteri, Nga Kor Ming dijalankan dalam Bahasa Melayu, begitu juga ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.”
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka telah mengecam tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang disifatkan sebagai mengugut.
Ekoran itu, isu tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
BACA JUGA: Pendirian kerajaan Madani berhubung kebebasan media