Mesyuarat menteri luar dianjur Turkiye bincang pelan damai Gaza

Turkiye akan menjadi tuan rumah mesyuarat menteri luar negara Islam pada Isnin ini bagi membincangkan pelan damai disyorkan Amerika Syarikat (AS) untuk Gaza.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, berkata mesyuarat di Istanbul itu akan menilai kemajuan yang sudah dicapai serta membincangkan langkah seterusnya yang boleh diambil bersama.

Menteri luar dari Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara negara yang dijemput ke mesyuarat berkenaan.

Kesemua menteri luar berkenaan sebelum ini pernah bertemu Presiden AS, Donald Trump, di New York pada 23 September lalu semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA).

“Ada sedikit sinar harapan yang muncul untuk semua pihak,” kata Fidan semasa sidang media bersama rakan sejawatnya dari Estonia, Margus Tsahkna.

Menurut Fidan, perbincangan itu penting bagi mengenal pasti halangan terhadap pelaksanaan pelan damai berkenaan serta menentukan pendekatan bersama dengan negara Barat dan Washington.

BACA JUGA: RHB umumkan, dia bukan lagi kakitangan mereka