Pemimpin PH dan BN duduk semeja di majlis terbuka di Terengganu
Usaha untuk membawa pemimpin politik di Terengganu untuk duduk semeja dalam majlis terbuka menjadi kenyataan apabila pemimpin PKR, Amanah dan Umno duduk semeja malam tadi.
Mereka berada dalam majlis “Mesra Semeja” yang dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu (Muafakat) di sebuah restoran di Kuala Terengganu malam tadi.
Turut serta adalah para pemimpin kanan dari semua parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional tetapi tidak berapa mesra di negeri Terengganu ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Pengerusi Amanah Terengganu, Senator Hasbie Muda, Pengerusi PKR Terengganu Dr Zainudin Awang bersama Penolong Setiausaha Umno Terengganu, Bazlan Abdul Rahman duduk semeja bersama Pengerusi Muafakat Datuk Muhatar Abdullah.
Muhatar adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
Pengerusi Umno Terengganu Datuk Rozi Mamat dan timbalannya Datuk Nik Dir sepatutnya turut hadir tetapi terpaksa ke Kuala Lumpur di saat akhir malam tadi setelah dipanggil oleh Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

(Sebahagian dari pemimpin politik dan NGO Muafakat yang menyertai majlis malam tadi)
Hubungan antara pemimpin PH dan BN di Terengganu tidak berada rapat walaupun bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
Ekoran itu, Muafakat mengambil usaha untuk membolehkan mereka duduk semeja dan merancang strategi bersama kerana mereka sama-sama melawan musuh politik yang sama di Terengganu iaitu Pas.
Dalam pilihanraya umum dan negeri yang lalu, Pas dan PN membolot kersemua kerusi termasuk lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri.
Menurut Dr Azrie Azeh Setiausaha Muafakat, program semeja yang diadakan pada malam tadi adalah langkah pertama untuk program-program selanjutnya yang lebih bersifat khusus untuk mewarnai politik Terengganu yang menjurus kepada Budaya Politik Baharu Terengganu.
Menurut satu resolusi yang dikeluarkan oleh Muafakat, pertubuhan ini mendapati kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke -10 telah berjaya membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara.
Selain itu, ketokohannya adalah di hormati dan diterima oleh pemimpin-pemimpin negara serantau dan antarabangsa.
Oleh itu, pertubuhan ini berpendirian kepimpinan PMX wajar disokong kerana;
- Anwar telah membawa kestabilan politik di negara ini.
- Kepimpinan PMX tetap memperkasakan pelaksanaan syariat Agama Islam di negara ini.
- PMX telah berjaya membetulkan dan melaksanakan soal tatakelola pentadbiran yang baik dan membenteras pelakuan rasuah dalam negara.
- PMX telah berjaya membawa pembangunan ekonomi untuk negara, dan berjaya mengurangkan beban kos sara hidup rakyat melalui pelbagai dasar yang diperkenalkan.
- Beliau sentiasa cakna kepada kebajikan kakitangan awam.
Sehubungan itu, Muafakat berpendapat, untuk membolehkan sesebuah kerajaan peringkat negeri seperti negeri Terengganu ini bersama – sama melaksanakan dasar-dasar yang selari dengan kerajaan pusat bagi kebajikan dan kepentingan rakyat, pentadbiran negeri Terengganu pelu diterajui oleh pentadbiran yang mesra atau senada dengan kerajaan pusat.

Sebelum ini, Muafakat telah membuat perjumpaan dengan kesemua kepimpinan parti kerajaan perpaduan di peringkat negeri Terengganu dengan UMNO, PKR dan AMANAH.
Banyak isu telah dibincangkan termasuk keperluan untuk memperkasakan kerjasama antara ketiga-tiga parti ini untuk bergerak bersama sebagai satu pasukan bagi mencapai misi bersama iaitu kemenangan dalam PRU16 nanti.
“Untuk itu, adalah dicadangkan penubuhan satu sekretariat bersama PH-BN peringkat negeri. Sekretariat ini perlulah di tubuhkan dengan beberapa segera bagi menyelaraskan segala dasar, program dan aktiviti secara terselaras dari peringkat paling atas sehingga ke peringkat akar umbi, khususnya jentera PDM nanti.
“Manifesto bersama untuk pilihanraya akan datang perlu di siap segera untuk menjelaskan apakah tawaran yang akan diberi kepada rakyat sebagai alternatif terbaik berbanding apa yang ditawarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional negeri Terengganu sekarang, tetapi gagal dilaksanakan.
“Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu bersedia membantu menyiapkan manifesto PRU ini,” kata resolusi yang dikeluarkan selepas majlis itu.
BACA JUGA Banyak projek bandar baru diumum Kelantan sejak 2012, tapi satu pun tak jadi