Bijak berstrategi dan berdiplomasi, ini hikmah di sebalik pendekatan PMX dengan AS
Oleh NORMAN DAUD
Tahukah anda? Ramai yang membantah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dengan hujah bahawa Malaysia sepatutnya “berani lawan Amerika”.
Majlis Profesor Negara (MPN), NGO, dan kelompok yang kita tahu cenderung pro pembangkang pun berbunyi senada.
Namun, mereka lupa satu hakikat besar. Sejarah telah membuktikan, setiap negara yang berani melawan Uncle Sam secara terbuka, akhirnya berakhir dengan kehancuran.
Kita ambil contoh Iraq. Pada awalnya, Iraq merupakan sekutu kuat AS semasa perang Iraq–Iran (1980–1988).
AS sendiri yang membekalkan senjata, risikan dan dana kepada rejim Saddam Hussein untuk mengekang pengaruh Iran yang ketika itu disokong oleh Kesatuan Soviet.
Tapi selepas perang tamat, Saddam mula lantang bersuara mengancam Israel, menyokong Palestin, dan mula menguatkan pengaruh dunia Arab di luar kawalan Barat.
Apabila itu berlaku, Mossad dan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) mula bermain catur halus.
Mereka memperdayakan Saddam kononnya Kuwait mencuri minyak Iraq dan mengancam ekonomi negaranya.
Saddam termakan umpan, serang Kuwait pada 1990. Itulah perangkap besar — memberi alasan sah kepada AS untuk melancarkan Operation Desert Storm.
Akhirnya Iraq hancur. Dari antara negara Arab paling moden dan kaya, terus menjadi padang pasir berapi. Infrastruktur musnah, pemimpinnya digantung, rakyatnya berpecah-belah hingga ke hari ini.
‘Dosa besar’
Selepas berjaya menghancurkan Iraq, Libya pula jadi sasaran. Negara di bawah pimpinan Muammar Gaddafi ni bukan sebarang negara.
Libya dulu antara negara Afrika paling maju dengan pendidikan dan kesihatan percuma, pendapatan rakyat tinggi, dan tiada hutang luar.
Tapi Gaddafi buat satu “dosa besar” pada Barat: dia tolak mata wang dolar dan mahu menggantikan dengan Dinar Emas Afrika.
Kalau rancangan itu berjaya, ekonomi Barat runtuh sebab minyak dan emas tidak lagi didagang dalam dolar.
Semasa itu, CIA dan Mossad dah mula kalut. Mereka tunggu peluang. Dan peluang itu datang ketika Arab Spring meletus pada 2011.

Dengan alasan kononnya nak “selamatkan rakyat daripada rejim Gaddafi”, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mula mengebom Libya. Negara yang aman bertukar jadi neraka.
Gaddafi diburu dan dibunuh dengan kejam. Libya kini tinggal nama dan mempunyai dua kerajaan, pelbagai militan, rakyat jadi pelarian.
Bukan Libya dan Iraq saja. Afghanistan lawan AS – dua dekad perang, jutaan nyawa melayang, dan akhirnya ditinggalkan dalam kehancuran.
Syria lawan AS – sekarang jadi pusat perebutan kuasa dunia, pecah kepada puak-puak yang disokong asing.
Di Yaman, perang saudara tidak berkesudahan kerana menolak telunjuk Washington dan sekutunya.
Iran – bertahan, tapi dikenakan sekatan ekonomi sejak puluhan tahun.
Semua ini bukti. AS tidak akan biarkan mana-mana negara Islam bangkit bebas daripada pengaruh mereka. Kalau tak boleh ditundukkan dengan bom, mereka akan gunakan ekonomi, media dan politik dalaman.
Sebab itu apabila kerajaan hari ini ambil langkah berhati-hati dalam perjanjian ART dengan AS, ia bukan tanda tunduk tetapi tanda bijak berstrategi.
Kita negara kecil. Kalau negara kuat macam Iraq, Libya dan Syria pun boleh lenyap begitu sahaja, kita ni apa sangat? Celah gigi saja pada peta dunia.
PMX tahu hal ini. Sebab itu beliau ambil pendekatan diplomatik.Kalau si Trump itu nak berjoget pun, kita layankan saja janji dia tak bad mood dan negara kita selamat.
Dalam politik antarabangsa, kadang kita tidak perlu jadi harimau yang mengaum, cukup jadi ular yang menyusur akar tetapi tak pernah hilang bisanya.
Kebangkitan Islam itu pasti. Itu janji Allah SWT. Tapi untuk ke arah itu, kita perlu membangunkan kekuatan dari dalam.
Selagi rakyat hidup aman, anak-anak boleh belajar ilmu dunia dan akhirat, ekonomi berkembang, kita masih ada peluang melahirkan generasi yang celik agama, bijak, dan bersedia menentang fitnah Dajjal satu hari nanti.
Kalau negara sendiri hancur dan dijajah, apa syiar Islam yang nak kita perjuangkan?
Fikir-fikirkanlah.
BACA JUGA I Lite U: Nga Kor Ming sedar ‘kemungkinan wujudnya kekhilafan’