I Lite U: Nga Kor Ming sedar ‘kemungkinan wujudnya kekhilafan’

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming hari ini mengakui sedar wujudnya kekhilafan dalam insiden yang berlaku semasa sidang media pra-pelancaran program pencahayaan “I Lite U” di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi beliau, Nga berkata beliau menerima teguran terhadapnya dan menegaskan bahawa beliau sentiasa menghormati kebebasan media

“Saya sentiasa menghormati kebebasan media dan tidak pernah berniat menyinggung mana-mana pihak, terutamanya wartawan yang merupakan tunggak informasi Kerajaan Madani,” katanya.

Menurut Nga, objektif beliau sebagai pemimpin adalah untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, inklusif dan progresif, serta mengangkat martabat negara di peringkat antarabangsa.

Pemimpin DAP berkenaan turut menghargai peranan media dalam menyampaikan pelbagai inisiatif kementerian kepada rakyat.

Dalam masa sama, beliau menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pihak media yang terlibat bagi menyelesaikan perkara itu dengan baik.

“Saya dengan rendah hati sudi untuk berjumpa dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan teratur,” kata Nga lagi.

Terdahulu, Nga yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dihujani kecaman apabila mengugut wartawan untuk ‘menghubungi ketua pengarang’ selepas diajukan soalan mengenai penggunaan bahasa Inggeris.

Soalan wartawan kepada Ahli Parlimen Teluk Intan itu berhubung slogan kempen rasmi kerajaan, iaitu prapelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Bahkan, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyifatkan ugutan Nga itu amat serius dan mencerminkan sikap tidak menghormati kebebasan media serta peranan wartawan dalam sistem demokrasi negara.

“Wartawan mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bertanya terutama kepada ahli politik dan penjawat awam bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu yang menjadi kepentingan awam,” tegas kenyataan pada 30 Oktober itu.

Geramm turut menegaskan bahawa soalan wartawan, “mengapa tidak menggunakan bahasa Melayu?’ itu bukan serangan peribadi, sebaliknya sebahagian daripada proses semak dan imbang dalam sebuah kerajaan demokratik.

BACA JUGA PM Anwar batalkan lawatan ke Pahang atas nasihat doktor