Hadi dirayu balik, disedari hilang selepas Subuh
Ibu bapa seorang remaja autisme ringan, Hadi Aiman, 18, merayu anak ketiga mereka pulang selepas disedari hilang sejak Subuh semalam.
“Baliklah Hadi. Mak dengan abah tak marah. Kami semua rindu dan tunggu kamu setiap saat,” rayu Khairiman Khazali, 51.
Beliau berkata, kehilangan Hadi disedari selepas Subuh apabila beliau dan isteri mendapati anak mereka tiada bilik manakala pintu rumah tidak berkunci.
Menurutnya, Hadi keluar dari rumah di Taman Ayer Keroh Height 1, Melaka tanpa membawa dokumen pengenalan diri.
“Hadi keluar diam-diam tanpa IC (MyKad), tanpa telefon, tanpa dompet. Duit simpanan semua dia tinggalkan.
“Dia tulis mesej beritahu kata laluan e-wallet dan telefonnya dan saya syak dia mungkin dalam tekanan,” katanya, lapor BH.
Khairiman memberitahu anak lelakinya itu memperoleh keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jelasnya, Hadi menunggu penempatan ke institusi pengajian tinggi tetapi kursus ditawarkan kurang sesuai dengan keadaannya.
“Dia ada ‘mild autisme’. Dalam keadaan tenang dia okay tapi dalam keadaan tertekan dia mudah sensitif,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada jam 8.11 pagi semalam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Masli Ali di talian 016-3388846 atau mana-mana balai polis berhampiran.
BACA JUGA Menteri KPKT akhirnya minta maaf kepada pengamal media