Menteri KPKT akhirnya minta maaf kepada pengamal media

Nga Kor Ming akhirnya hari ini memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya semasa prapelancaran projek pencahayaan ‘I Lite U’ di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, beliau menerima dengan hati terbuka segala teguran yang diberikan terhadap kenyataannya dalam program itu.

Dalam masa sama, beliau menarik balik kata-kata yang menimbulkan kekeliruan atau rasa terkilan dalam kalangan pihak media.

“Pada masa hari ini, sempena hari Ahad yang penuh permai ini, berkaitan dengan kekhilafan di Program Pencahayaan Bukit Bintang Kuala Lumpur, saya menerima dengan hati yang terbuka segala teguran.

“Sekiranya ada rakan-rakan media yang terkilan dengan kata-kata itu, saya tarik balik dan mohon maaf supaya kita dapat fokus kepada usaha membina semula tanah air kita yang tercinta ini,” jelasnya.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Taman MADANI di Taman Book Bak, di Ipoh hari ini.

Ahli Parlimen Teluk Intan berkenaan turut menegaskan dirinya amat menghormati pengamal media serta kebebasan bersuara mereka dalam menjalankan tugas.

“Jadi, sebab itu sekiranya ada rakan-rakan media yang rasa terkilan, saya tarik balik dan juga mohon maaf, supaya kita dapat fokus untuk menjana memastikan kita terus mengangkat martabat negara.

“Saya mahu fokuskan kepada pembangunan negara. Itu penting,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video di sebuah acara pada 29 Oktober lalu memaparkan Kor Ming menjawab pertanyaan wartawan Utusan Malaysia mengenai penggunaan bahasa kebangsaan berkaitan nama prapelancaran projek I Lite You di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, yang menggunakan bahasa Inggeris.

Kor Ming dilihat menjawab dengan nada sedikit keras, malah katanya mahu menghubungi ketua pengarang sehingga mengundang kritikan banyak pihak termasuk Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Susulan itu, pagi tadi, Kor Ming menerusi kenyataan rasmi di Facebook berkata, beliau “sedar kemungkinan wujudnya kekhilafan dalam perkara ini dan saya terimanya dengan hati yang terbuka”.

Walau bagaimanapun, kenyataan wakil rakyat DAP itu masih dihujani kecaman dengan rata-rata menuntut Kor Ming meminta maaf kerana dianggap mengugut wartawan sekaligus tidak menghormati kebebasan media serta peranan pengamal media dalam sistem demokrasi negara.

BACA JUGA I Lite U: Nga Kor Ming sedar ‘kemungkinan wujudnya kekhilafan’