Rakyat titip doa dan sokongan, ramai sifatkan PM Anwar kuat bekerja
Warganet menzahirkan rasa prihatin terhadap kesihatan Perdana Menteri selepas beliau dilaporkan mengalami masalah sakit belakang sehinggakan jadual lawatan kerja ke Pahang terpaksa dibatalkan.
Rata-rata menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu kuat bekerja dan dibimbangi tidak cukup waktu rehat.
Menerusi hantaran di media sosial rasmi tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 itu, ribuan rakyat mendoakan agar Anwar dikurniakan kesembuhan segera serta terus diberi kekuatan untuk memimpin negara.
“Rehatlah Datuk Seri… Kami tengok Datuk Seri kerja pun kami yang penat. Jangan lupa berehat dan jaga kesihatan. Rakyat sentiasa menyokong usaha baik PMX. Semoga cepat sembuh dan dipermudahkan urusan oleh-Nya. Amin,” demikian antara komen netizen di Facebook Perdana Menteri hari ini.
Pagi tadi, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke Pahang yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dibuat pada saat akhir selepas Anwar dinasihatkan oleh pasukan perubatan berikutan masalah sakit belakang yang menyebabkan pergerakannya terbatas.
“Atas nasihat doktor, YAB Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Anwar memohon maaf kepada seluruh rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadirannya.
BACA JUGA Hadi dirayu balik, disedari hilang selepas Subuh