PM Anwar bimbang tragedi Sudan, seru hentikan segera keganasan

Perdana Menteri menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur, Sudan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembunuhan beramai-ramai, kebuluran serta perpindahan besar-besaran penduduk awam di Sudan merupakan bencana kemanusiaan yang amat mengejutkan hati nurani dunia.

Beliau menegaskan, laporan mengenai kekejaman yang mungkin menjurus kepada jenayah terhadap kemanusiaan, malah genosid, tidak boleh diterima sama sekali.

“Malaysia menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta dan supaya orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar menambah, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak tegas bagi mengelakkan penderitaan selanjutnya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong proses yang kukuh ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban di negara itu.

Tragedi di Darfur dilaporkan semakin meruncing dengan peningkatan serangan bersenjata dan krisis kemanusiaan yang menjejaskan jutaan penduduk, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan antarabangsa.

Krisis kemanusiaan di Sudan berlaku akibat pergolakan kuasa antara tentera dan paramiliter dengan sekurang-kurangnya 1,500 orang dibunuh dalam tempoh tiga hari ketika penduduk awam cuba melarikan diri.

Kerajaan Sudan menyatakan bahawa lebih 2,000 orang mungkin telah terbunuh di El Fasher sejak pengambilalihan.

Selepas kejatuhan presiden Omar al‑Bashir pada 2019, Sudan memasuki fasa peralihan ke arah kerajaan campuran tentera-sivil.

Namun pada Oktober 2021, berlaku rampasan kuasa oleh pasukan tentera dan paramiliter, yang menggagalkan proses peralihan.

Konflik sebenar meletus apabila pasukan Sudanese Armed Forces (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) mula berkonfrontasi secara terbuka pada 15 April 2023 kerana perselisihan mengenai pemisahan kuasa dan integrasi RSF ke dalam tentera reguler.

Dalam masa sama, Sudan sekian lama menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk, inflasi, kekurangan keperluan asas dan ketidakpuasan rakyat.

Sejak sekitar 2003, Darfur telah mengalami perang besar apabila pemberontakan di kawasan itu bertembung dengan kerajaan pusat Sudan.

BACA JUGA Ini dia bukti Lembaga Disiplin hanya alat untuk sasarkan Hamzah Zainudin