PM beransur pulih, luang masa dengan cucu
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau kini semakin pulih selepas berehat daripada tugasan rasmi sejak beberapa hari lalu.
Menerusi satu catatan ringkas di media sosial sebentar tadi, Anwar berkongsi video ringkas bersama anak dan cucunya.
“Healing dengan cucu. Alhamdulillah, kian beransur pulih. Terima kasih atas doa semua,” katanya.

Menerusi rakaman video itu, Anwar dilihat berbual mesra dan mencium cucu dan anaknya.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai netizen yang menzahirkan ucapan syukur dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan Perdana Menteri.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke Pahang yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dibuat pada saat akhir selepas Anwar dinasihatkan oleh pasukan perubatan berikutan masalah sakit belakang yang menyebabkan pergerakannya terbatas.
“Atas nasihat doktor, YAB Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi,” menurut kenyataan tersebut.
Susulan itu, orang ramai mendoakan kesihatan serta kesejahteraan kepada Perdana Menteri agar cepat sembuh dan menikmati rehat secukupnya.
Rata-rata menyifatkan tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 di dunia itu begitu kuat bekerja sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, baru-baru ini.
Usai sidang tersebut, Perdana Menteri dilihat terus berkhidmat dengan jadual rasmi yang padat termasuk sidang Parlimen, mesyuarat penting kerajaan serta lawatan kerja.
BACA JUGA PM Anwar bimbang tragedi Sudan, seru hentikan segera keganasan