AMANAH sokong PRU, PRN diadakan serentak
AMANAH menyokong agar pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak untuk mengurangkan kos dan memudahkan pengurusan.
Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar ia adalah pendirian partinya sejak pilihan raya negeri berlangsung di empat buah negeri sebelum ini.
“Pelaksanaan pilihan raya serentak akan memberi penjimatan besar bukan sahaja kepada kerajaan malah kepada semua parti politik yang bertanding.
“Selepas PRN empat negeri dahulu, Amanah sudah lontarkan idea supaya PRU16 nanti dibuat secara serentak. Ia langkah terbaik untuk menjimatkan kos kepada negara, kerajaan dan juga parti-parti politik,” katanya, lapor Sinar Harian.
“Kalau dibuat berasingan, SPR terpaksa keluarkan peruntukkan dua atau tiga kali. Tapi kalau serentak, sekali saja perbelanjaannya. Begitu juga dengan parti-parti politik, calon pun hanya perlu belanja sekali,” katanya.
Beliau menambah bahawa pilihan raya bersekali juga adalah kaedah untuk mengelakkan ketirisan dan pembaziran.
“Kalau kita betul-betul mahu kurangkan pembaziran, inilah buktinya buat pilihan raya sekali, bukan berasingan,” tambah beliau.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke telah menyatakan pendirian partinya supaya pilihan raya negeri dan pilihan raya umum diadakan serentak.
Beliau berkata demikian semasa konvensyen DAP Johor minggu lalu.
BACA JUGA: Kerjasama Petronas–Eni boleh jana rizab minyak baharu 3 bilion tong