Isu pemain warisan: Tunku Mahkota Ismail bersuara lepas FIFA tolak rayuan FAM

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendakwa FIFA telah menghukum tujuh pemain warisan negara dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang.

Baginda berkata, Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain.

Baginda berpandangan, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.

“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising.

“Tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain, yang kini akan diteruskan ke CAS — sebuah badan bebas,” kata baginda menurut kenyataan di Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Semalam, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kes pemalsuan dokumen.

Dalam satu kenyataan rasmi, FIFA mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

BACA JUGA Pemandu e-hailing boleh tarik nafas lega, kerajaan setuju naikkan kuota kepada 800 liter