Ahmad Awang keluar IJN selepas jalani pembedahan

Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Ahmad Awang telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani pembedahan besar baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikongsi oleh pentadbir media sosial beliau, Ustaz Ahmad Awang telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari sebelum ditempatkan di wad biasa selama 11 hari bagi tujuan pemulihan.

Bekas Naib Presiden Pas berkenaan kini berehat di kampung dan masih dalam tempoh pemulihan.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah. Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang telah keluar dari IJN setelah menjalani pembedahan major.

“Ustaz berada di ICU selama 3 hari dan 11 hari di wad biasa. Sekarang keadaan masih lemah dan berada di kampung.

“Mohon semua mendoakan ustaz sembuh dan dapat terus berbakti,” menurut kenyataan itu sebentar tadi.

Ustaz Ahmad Awang, 89, yang juga mantan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia merupakan antara pengasas utama AMANAH dan pernah menjadi Pesuruhjaya Pas Perak sebelum menyertai AMANAH pada 2015.

BACA JUGA Pakatan Pas-Bersatu terlalu rapuh, hanya bersandar demi kuasa