Bekas ahli parlimen ini tolak pelantikan sebagai ahli Lembaga Rayuan Bersatu
Mantan ahli parlimen Alor Gajah Datuk Redzuan Yusof telah menolak pelantikan sebagai ahli Lembaga Rayuan Bersatu kerana dilihat sebagai penyokong kuat presiden Tan Sri Mahiaddin Yassin dan tidak mahu membebankan parti.
“Saya dianggap penyokong kuat Mahiaddin dan kalau saya berada dalam Lembaga Rayuan, soal berkecuali mungkin kurang jelas.
“Kalau boleh biarlah ahli Lembaga Rayuan bukan daripada kalangan yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan. Jadi seeloknya saya tidak menerima pelantikan itu,” kata Redzuan, lapor FMT.
Beliau telahpun menghantar surat penolakan jawatan kepada Mahiaddin.
Semalam setiausaha agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan Redzuan sebagai salah seorang ahli Lembaga Rayuan parti yang diketuai oleh bekas yang dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Harun.
Anggota lain Lembaga Rayuan terdiri daripada bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; bekas menteri pembangunan luar bandar, Abdul Latiff Ahmad; dan Fahimee Ismail.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyoal kelewatan pelantikan ahli Lembaga Rayuan Bersatu.
BACA JUGA: Pemimpin Bersatu saman fitnah pemimpin Bersatu RM1 juta