Krisis Bersatu berlarutan, 5 MPT dilantik anggotai Lembaga Rayuan

Ketika pergolakan Bersatu masih belum reda, parti itu melantik lima individu untuk menganggotai Lembaga Rayuan.

Presidennya, Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama kepimpinan parti.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT, di Menara Yayasan Selangor, malam tadi, Mahiaddin berkata, keputusan itu bagi memastikan pelaksanaan keputusan strategik pada peringkat tertinggi parti selepas ini lebih tersusun dan tertumpu.

“Apa sahaja cadangan yang dibawa ke Lembaga Rayuan ini kita akan lihat mana yang sesuai atau berpatutan, kita akan laksanakan.

“Mereka yang dilantik ini adalah dalam kalangan Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT), mereka ini akan beri satu cadangan kukuh untuk dilaksanakan dalam tempoh segera,” katanya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Antara yang dilapor hadir dalam mesyuarat MPT itu ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ahli MPT, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Rosol Wahid.

Bersatu kini dilihat terbahagi kepada dua kem iaitu penyokong Mahiaddin dan satu lagi mencadangkan agar kuasa Presiden diserahkan kepada Hamzah.

Bulan lalu, Lembaga Disiplin BERSATU memecat keahlian Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama satu penggal Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Keputusan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan Machang itu berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Mahiaddin sebelum ini.

Dalam sidang media di Parlimen pada 28 Oktober lalu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, dia sudah menyatakan secara dalaman bahawa Mahiaddin tidak lagi relevan sejurus Bersatu kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, masing-masing pada 2021 serta 2022.

Wan Fayhsal juga mendedahkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pihak dalam Bersatu yang ketika ini tidak selesa dengan Hamzah Zainudin.

Dakwa Wan Fayhsal lagi, dua individu terbabit antara dalang yang mempengaruhi Mahiaddin untuk mengambil tindakan terhadap ahli Bersatu yang menyokong Hamzah untuk menerajui parti.

BACA JUGA Belanjawan 2026 lulus dengan 120 setuju, 67 menentang