Pas hanya tanding 5 kerusi dalam PRN Sabah

Lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimuktamadkan akan ditandingi Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, tumpuan diberikan kepada DUN Karambunai yang bakal ditandingi Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Katanya dalam sidang media di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini, kerusi DUN itu memiliki potensi besar untuk dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN).

“Kita ingin membawa satu pembaharuan melalui pendekatan PN di Sabah di mana negeri berkenaan berdepan dengan pelbagai isu dan yang paling besar ialah membabitkan rasuah.

“Masalah ini menjejaskan pembangunan di Sabah yang bukan kerana peruntukan tidak ada, tetapi disebabkan peruntukan itu tidak sampai kepada rakyat,” katanya.

Mohd Amar turut memberitahu jumlah muktamad kerusi ditandingi PN masih belum diputuskan tetapi dalam mesyuarat terdahulu, PN dijangka bertanding sekitar 40 kerusi.

Jelasnya, PN sudah sepakat untuk bertanding atas logo blok tersebut dan terdapat kemungkinan beberapa parti lain akan turut serta menggunakan lambang PN.

BACA JUGA Pembangkang minta itu ini tapi belanjawan tak nak sokong, malas saya nak jawab…