Pembangkang minta itu ini tapi belanjawan tak nak sokong, malas saya nak jawab…
Sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini bertukar gamat seketika apabila Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) secara bersahaja mengatakan beliau malas mahu menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen pembangkang.
Jawapan bersahaja Ahmad Maslan tercetus selepas Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengemukakan soalan berhubung perancangan kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur perhubungan di Mersing.
Ahmad yang menjawab soalan berkenaan berkata, pembangkang pada semalam langsung tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026, namun masih mahu menuntut pelbagai projek pembangunan untuk kawasan masing-masing.
“Kita akan memikirkan apabila Mersing bersama dengan Kerajaan Perpaduan Madani. Mersing ini (Ahli Parlimennya) pembangkang, minta bukan main banyak lagi… semalam pembangkang-pembangkang ini tak menyokong pun belanjawan tetapi minta berjela-jela.
“Macam malas saya hendak menjawab Yang Berhormat Speaker… kenapa tidak sokong semalam? Selepas itu minta itu ini, belanjawan tak sokong. Malas saya hendak jawab,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) kemudian bangkit membalas jika menteri malas mahu menjawab, menteri boleh meletakkan jawatan.
Ahmad Maslan terus menjawab bahawa beliau hanya malas menjawab tuntutan pembangkang dan bukannya malas untuk hadir ke Parlimen.
BACA JUGA Pakatan Pas-Bersatu terlalu rapuh, hanya bersandar demi kuasa