Selepas wanita Taiwan ditemui mati dalam bilik hotel, Namewee akhirnya bersuara
Namewee memberitahu dia tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, pada 22 Oktober lalu.
Menerusi catatan di Facebook, pengarah filem yang pernah menggemparkan negara kerana menghina Lagu Kebangsaan itu berkata, dia baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru.
“Sekarang (malam tadi) saya sudah sampai di ibu pejabat polis seterusnya, saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan, supaya masyarakat dan keluarga mangsa mendapat penjelasan yang sewajarnya.
“Saya tidak akan melarikan diri. Sebelum ini, dalam tujuh kali saya dipanggil oleh pihak berkuasa, saya sendiri yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan. Saya tidak pernah lari,” kata Namewee dalam bahasa Cina.
Semalam, dilaporkan siasatan menyeluruh berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan, berusia 31 tahun di Banyan Tree Hotel, dijalankan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan menahan Namewee, 42.
Ia berikutan penyanyi Negarakuku itu merupakan individu terakhir yang berada bersama mangsa ketika kejadian.
Kes berkenaan mulanya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) tetapi ditukar kepada kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BACA JUGA Krisis Bersatu berlarutan, 5 MPT dilantik anggotai Lembaga Rayuan