Malaysia mendapat tempat terbaik dalam perlumbaan nadir bumi dunia

Malaysia dianggap menang besar dalam perlumbaan global nadir bumi apabila China bukan sahaja bersedia berkongsi teknologi pemprosesannya, malah turut menyatakan sokongan penuh terhadap penyertaan Malaysia ke dalam blok ekonomi BRICS.

Pemerhati ekonomi dari China, Meilian, melihat langkah itu sebagai detik bersejarah kerana layanan seumpama ini jarang diberikan kepada mana-mana negara Asia.

Katanya, Malaysia selama ini berhasrat menonjol dalam industri nadir bumi tetapi kekurangan teknologi teras, dan kini, peluang itu akhirnya tiba.

“Malaysia benar-benar menang besar kali ini. China bukan sahaja berkongsi teknologi pemprosesan nadir bumi dengan Malaysia, tetapi juga berikrar sokongan penuh untuk penyertaan Malaysia ke BRICS,” katanya dalam satu ulasan yang dikongsikan di platform media sosial.

Menurut Meilian, layanan istimewa seperti itu jarang sekali diberikan China kepada mana-mana negara Asia sebelum ini, menandakan keyakinan China terhadap potensi Malaysia.

Keputusan China untuk membuka akses teknologinya bukan bermaksud menyerahkan kelebihan, sebaliknya strategi untuk mengekalkan pengaruh global dalam industri yang digelar “vitamin industri moden”.

Mengapa Malaysia jadi pilihan?

China memilih Malaysia atas dua sebab utama, kata Meilian.

Pertama, Malaysia kaya dengan sumber nadir bumi dan sedang membina rantaian pemprosesan baharu yang menjanjikan.

Kedua, Malaysia memegang kedudukan penting di Asia. Dengan memanfaatkan Malaysia, China bukan sahaja dapat mengukuhkan kerjasamanya dengan Asia, tetapi juga meluaskan jangkauan industri nadir buminya di pasaran antarabangsa.

Dengan tawaran teknologi dari China, Malaysia kini berpeluang mengisi jurang kemahiran yang selama ini membantutkan hasratnya untuk menembusi pasaran nadir bumi global.

BACA JUGA Bekas ahli parlimen ini tolak pelantikan sebagai ahli Lembaga Rayuan Bersatu