Padah sunting artikel palsu, pengguna FB disiasat SKMM

Seorang pengguna Facebook telah dipanggil untuk membantu siasatan selepas memuat naik keratan berita palsu memaparkan gambar Perdana Menteri dengan kapsyen “Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan US”.

Keratan berita yang disunting itu menggunakan nama dan logo Utusan Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, imej suntingan tersebut didapati palsu dan berpotensi mengelirukan orang ramai. 

Siasatan awal turut mengesahkan bahawa Utusan Malaysia telah menafikan penerbitan laporan berkenaan serta menjelaskan ia merupakan penyalahgunaan nama dan logo akhbar tersebut.

“Sehubungan itu, individu disyaki telah dipanggil bagi membantu siasatan dan keterangan telah dirakam pada hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka. 

“Satu peranti telefon bimbit dan satu kad sim telah disita bagi tujuan analisis forensik digital,” kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini.

SKMM memaklumkan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

SKMM menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, terutamanya kandungan yang menggunakan identiti atau logo organisasi media tanpa kebenaran. 

Penyebaran kandungan palsu boleh menjejaskan kredibiliti sumber berita sahih dan mengundang tindakan undang-undang.

BACA JUGA Bila anak Kedah latih pekerja Tesla di AS…inilah kuasa ART