SPRM dah lama siasat, MUIS terbukti tidak terbabit dakwaan salah guna kuasa

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini tidak menemui sebarang unsur salah laku dalam pengurusan dana Tabung Zakat membabitkan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Siasatan itu sekaligus telah membersihkan nama MUIS daripada dakwaan tersebut yang ketika ini kembali tular.

Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, tuduhan tersebut adalah fitnah lama yang tidak berasas dan telah pun disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa sebelum ini.

Katanya, isu berkenaan pernah mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama, yang telah mengarahkan agar siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana zakat.

“Pada masa yang sama, MUIS juga telah mengambil tindakan saman fitnah terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan tidak benar ini.

“Prosiding mahkamah masih berjalan dan wajar dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahya berkata, MUIS telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk menyiasat keseluruhan akaun kewangan MUIS, termasuk Tabung Zakat dan tidak ditemukan sebarang unsur salah laku.

“Jabatan Audit Negara juga sudah menjalankan audit menyeluruh terhadap akaun kewangan MUIS, termasuk Tabung Zakat pada setiap tahun.

“Hasilnya, MUIS dianugerahkan Sijil Tanpa Teguran selama lima tahun berturut-turut, yang membuktikan bahawa pengurusan kewangan MUIS adalah telus, berhemah dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh Piawaian Perakaunan serta juga Enakmen-Enakmen berkaitan,” katanya lagi.

Yahya menasihatkan kepada orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan fitnah berunsur jahat yang sengaja dicipta dan disebarkan bagi menjatuhkan imej MUIS sebagai institusi Islam negeri ini.

BACA JUGA TV Thai kupas ekonomi Malaysia, pengulas kata duit pelaburan banyak ‘mengalir’ ke sini