TV Thai kupas ekonomi Malaysia, pengulas kata duit pelaburan banyak ‘mengalir’ ke sini

Malaysia terus menjadi topik kupasan di aliran media massa negara jiran apabila baru-baru ini sebuah rancangan televisyen di Thailand membahaskan kemampuan ekonomi Malaysia dalam menarik pelaburan.

Dalam satu sedutan rancangan tv yang dimuat naik di media sosial, seorang pengulas berkongsi bagaimana ekonomi Malaysia ketika ini telah jauh berkembang mendahului negara-negara ASEAN lain.

Pengulas berkata: “Setiap syarikat yang melabur di Thailand atau rancang melabur di negara ini sudah mula melabur di Malaysia dan mengumumkan jumlahnya.

“Syarikat yang dimaksudkan termasuklah Amazon, Google, Nvidia, Facebook, Bytedance, Intel dan banyak lagi. Jumlah keseluruhan memperlihatkan angka mencecah $30 bilion bersamaan RM125.94 bilion.

“Yang paling  penting aspek nombor demikian adalah jika pada masa dahulu apabila kita memikirkan tentang tentang kejayaan teknologi, kita mesti teringat dekat Singapura.

“Tetapi kali ini, duit mengalir ke Malaysia lebih dari Singapura… dan dari perbualan kami dengan kerajaan Malaysia, saya tak pasti jika benar atau tidak tetapi mereka mengatakan sangat yakin yang negara ini bakal jadi hub kepada teknologi dan pusat data di ASEAN,” katanya.

Perkongsian itu sekali gus memperlihatkan keyakinan baharu terhadap potensi Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan teknologi di rantau ini.

BACA JUGA Padah sunting artikel palsu, pengguna FB disiasat SKMM