Petronas ambil 95% hasil petroleum Sabah, Sarawak? Ini penjelasan menteri

Kementerian Kewangan (MoF) menafikan dakwaan bahawa Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengambil sehingga 95% hasil petroleum dari Sabah dan Sarawak, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sebaliknya, beliau berkata keuntungan yang diperoleh Petronas adalah jauh lebih rendah daripada 10 peratus selepas mengambil kira kos operasi, modal penerokaan dan pengeluaran minyak serta cukai jualan.

“Industri petroleum dibangunkan melalui kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) antara Petronas dan pelabur.

“Dalam mana-mana bentuk PSC, Petronas dikehendaki membuat bayaran tunai tetap sebanyak lima peratus kepada kerajaan Persekutuan dan lima peratus kepada kerajaan negeri berdasarkan pengeluaran kasar.

“Selepas mengambil kira bayaran 10 peratus itu, kira-kira 80 peratus daripada hasil digunakan untuk menampung kos pengeluaran termasuk kos operasi, penerokaan dan modal pengeluaran,” katanya semasa sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini seperti dilaporkan oleh Bernama.

Amir Hamzah berkata, baki kira-kira 10 peratus merupakan peruntukan kasar yang akan dikongsi antara Petronas dan pelabur selepas cukai.

“Kerajaan negeri juga mengenakan cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum yang tidak termasuk dalam angka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Chiew Choon Man (PH-Miri) berhubung dakwaan bahawa Petronas mengambil sehingga 95 peratus hasil petroleum dari Sabah dan Sarawak manakala negeri-negeri tersebut hanya menerima royalti lima peratus sepanjang 50 tahun yang lalu.

BACA JUGA: Jualan runcit dan borong melonjak, keyakinan pengguna makin pulih