Projek KB Sentral bakal dimulakan selepas lama ditangguh, rakyat persoal janji lama
Isu projek mega KB Sentral yang sekian lama terbengkalai kembali dibangkitkan selepas kerajaan negeri memasukkannya semula dalam senarai projek utama Belanjawan Kelantan 2026 yang dibentangkan minggu lalu.
Projek yang sudah berlarutan sejak 2022 itu membuka perbincangan ramai, termasuklah ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim yang skeptikal adakah bakal berlaku kemajuan selepas berkali-kali ditangguh.
Warganet turut meninggalkan reaksi serupa mempersoalkan kerajaan negeri Kelantan yang berkali-kali berjanji mahu menyiapkan pembinaan stesen bas tersebut.
Sebelum ini pada Julai 2022, kerajaan berjanji pembinaan KB Sentral bagi menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh yang sudah beroperasi selama lebih 12 tahun, akan disiapkan pada penghujung 2025.
Pada Mac 2024 pula, kerajaan memaklumkan ia akan disiapkan pada penghujung 2026.
Ia kemudian diubah sekali lagi dan dijangka disiapkan pada 2027.
Suasana persekitaran di terminal bas sementara dilihat tidak selesa dan kekurangan pelbagai kemudahan, menyebabkan lokasi itu dianggap antara lokasi pengangkutan awam yang ketinggalan zaman.
Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2026 oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, kerajaan negeri memperuntukkan RM67.6 juta di bawah agenda Kemampanan Ekonomi Negeri untuk melaksanakan empat projek strategik berimpak tinggi merangkumi Madinah Al-Salam, Madinah Al-Riadhah, Madinah Ramadan dan KB Sentral.
BACA JUGA Dulu janji siap 2025, sekarang kerajaan Kelantan kata terminal bas KB Sentral siap 2027