Status Pulau Pinang: Exco Pulau Pinang bidas MB Kedah

Exco Pulau Pinang bagi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wong Hon Wai membidas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana meneruskan usaha mempertikaikan kedudukan Pulau Pinang.

Menurut Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan 1957, Pulau Pinang disenaraikan sebagai salah satu negeri yang membentuk Persekutuan sama taraf dengan negeri-negeri lain.

“Ini bukan sahaja pengiktirafan dari segi perundangan, tetapi juga mencerminkan kedudukan penting Pulau Pinang dalam struktur sejarah dan Persekutuan Malaysia.

“Perlembagaan Persekutuan 1957 membuka lembaran baru dalam sejarah serta mengatasi segala dokumen yang berlaku sebelum itu.

“Tindakan MB Kedah membangkitkan perkara lama yang melebihi 200 tahun ini amat dikesali. Sepatutnya MB Kedah menjuruskan tenaga beliau untuk menarik pelaburan dan merancang pembangunan di negeri beliau dan bukan memulakan satu polemik yang tidak berhasil.

Semalam Sanusi telah mengumumkan bahawa Kedah dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.

Pasukan penyelidik yang terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan telahpun menjalankan kajian komprehensif dan membentangkannya pada 15 April.

BACA JUGA: Selepas Pulau Pinang sebut pasal tuntutan mahkamah, ini respon Sanusi isu caj air